Bayi akan menangis apabila dia berasa kurang selesa atau apanila dia mahukan sesuatu. Dia akan menangis jika terasa sejuk, panas, letih, lapar, haus, sakit atau inginkan belaian ibu bapa. Tetapi, ada bayi yang menangis keterlaluan. Kanak-kanak mempamerkan reaksi yang berbeza-beza apabila berhadapan dengan keadaan yang menyebabkan mereka menangis. Ada yang menangis terlalu lama dan kuat bunyinya apabila terjatuh tetapi ada yang tahan lasak dan akan bangun semula untuk meneruskan aktivitinya. Kanak-kanak berbeza dari segi apa yang dikatakan temperament atau karenah. Ada yang sering sangat menangis begitu lama dengan suara lantang sehingga membingitkan telinga orang yang mendengar. Ada pula bayi yang kurang sekali menangis, seolah-olah sentiasa berasa selesa. Ada bayi yang mudah dipujuk dan ada juga yang sukar didiamkan walaupun tiada tanda-tanda yang menunjukkan dia sakit.
Biasa ditemui keadaan dimana seseorang bayi itu kerap sangat menangis berpanjangan dengan suara yang lantang. Keadaan ini selalunya bermula ketika bayi berusia dua minggu dan akan berterusan sehingga dia berusia tiga bulan. Dalam istilah Inggeris, keadaan ini disebut sebagai three months colic, evening colic atau infantile colic. Istilah tempatan yang popular ialah tangis kembung. Keadaan ini boleh digambarkan melalui satu contoh kes yang pernah ditemui diklinik.
Pemeriksaan ke atas bayi yang sering menangis
Untuk menilai seorang bayi yang terlalu kerap menangis, tidaklah memadai dengan mendapatkan riwayat terperinci tentang punca-punca atau faktor-faktor yang boleh dikaitkan degan tangisan bayi itu semata-mata. Pemeriksaan fizikal juga perlu dilakukan untuk memastikan bayi berada dalam keadaan sihat. Sesetengah ibu bapa menganggap biasa sahaja tangisan bayi mereka yang dirasakan keterlaluan oleh orang lain. Perkara ini tidak merupakan masalah kepada mereka. Ada sesetengah bapa yang tidak suka mendengar tangisan anak mereka. Mereka mudah berasa cemas dan menjauhkan diri dari anak itu. Dengan ini, mereka tidak membantu isteri untuk mententeramkan bayi itu. Sebaliknya, ada pula sesetengah bapa yang tidak beras terganggu dengan karenah bayi mereka. Mereka sebaliknya sentiasa bersabar dan cuba seberapa daya mententeramka bayi mereka.
Seseorang ibu yang kurang cekap atau kurang berpengalaman mengagihkan masa dan tenaganya untuk melaksanakan tugas sebagai suri rumah tangga akan cepat berasa letih dan menyebabkan dia mudah naik darah dan hilang kesabaran. Jika dia juga bekerja dan kurang cekap di pejabat kerana sering keletihan , dia mungkin sentiasa diselubungi oleh perasaan cemas. Ini boleh menyebabkan bayinya lebih lantang dan kerap menangis. Keadaan boleh menjadi lebih buruk lagi jika si ibu sendiri tidak dapat menyesuaikan dirinya dengan karenah bayinya itu. Jika dia sendiri mudah panas hati atau kurang sihat , keadaan akan menjadi bertambah -tambah buruk lagi.
Jika suami isteri mempunyai hubungan yang baik sesama mereka dan saling mengamalkan sikap bertimbang rasa serta mendapat sokongan dari pihak mertua , saudara mara atau pembantu rumah , ini sedikit sebanyak boleh menolong meredakan keadaan. Tetapi , cuba bayangkan keadaan di mana si bayi yang kuat menangis mempunyai ibu yang mudah naik darah , kurang cekap di rumah dan di pejabat , kurang berpengalaman menjaga bayi serta bapa yang kurang bertimbang rasa dan sering tiada di rumah dan sebagainya. Keadaan ini sudah tentu akan mudah menimbulkan ketegangan dan boleh menyebabkan si ibu tidak dapat mengawal perasaan. Nasihat doktor dan bantuan daripada orang lain penting bagi meredakan keadaan.
Apakah cara -cara untuk mengatasi keadaan ini ?Memberi bayi puting , membelai dan menepuk -nepuknya sambil mengucapkan kata -kata yang lembut boleh meredakan keadaan. Bayi gemar dibaringkan sama ada didalam buaian atau di atas riba ibu sambil dihenjut -henjutkan. Bayi juga suka didokong. Dia dapat merasakan kelembutan , kehangatan badan serta degupan jantung si ibu. Dalam posisi ini, bayi kadangkala boleh tidur dengan nyenyak-nya. Kadangkala, jika tangisan bayi tidak juga reda walaupun setelah bermacam-macam perkara dilakukan untuk memujuknya, biarkanlah sahaja dia beberapa ketka. Sesetengah ibu menyatakan bahawa bayi mereka akan berhenti menangis dan tidur nyenyak apabila dibawa bersiar-siar didalam kereta. Bayi yang banyak tidur pada waktu siang hari dan berjaga serta menangis pada malam hari boleh diubah waktu tidurnya. Jika dia dibiarkan tidur selama tiga jam pada waktu siang, kemudian dikejutkan untuk diberikan susu, dimandikan atau dilayani, kemungkinan tidurnya akan lebih nyenyak dimalam hari.
Ibu yang sentiasa tenang, mendapar sokongan dari suami, pembantu rumah, ibu bapa atau saudara mara terdekat akan dapat menghadapi masalah bayi kerap menangis ini dengan lebih positif. Adakalanya, siibu mungkin keletihan kerana terlalu kerap berjaga pada waktu malam. Dengan keadaan ini, dia perlukan waktu untuk berehat dan tidur secukupnya supaya mendapat tenaga kembali untuk menjaga bayi dengan perasaan yang lebih positif. Ingatlah bahawa perasaan letih, marah dan ketegangan jiwa hanya akan menambahkan masalah dan perlulah dikawal.
Adakalanya, keadaan menjadi sungguh genting dan tegang terutama bagi pasangan ibu bapa yang tidak mendapat sokongan daripada orang lain. Doktor mungkin boleh menyarankan ubat-ubat tertentu untuk meredakan keadaan jika difikirkan perlu. Ubat tidur boleh membawa kesan sampingan yang berbahaya pada bayi. Oleh itu, ibu bapa tidak digalakkan memberi ubat kepada bayi mereka tanpa mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu. Tangisan bayi kembung tidak akan berterusan selama-lamanya dan lazimnya akan berhenti apabila usia bayi meningkat tiga bulan. Oleh itu, hadapilah keadaan ini dengan sabar dan yakin.
......"SELAMAT BERJAYA PARA IBU SEKALIAN"
No comments:
Post a Comment